Tuesday, November 18, 2008

kisah hantu dan motivasi pendidikan

Tahukah anda apa langkah pertama untuk menjadi seorang pelajar cemerlang?
Pernahkah anda terfikir, mengapa anda mudah hilang semangat, kecewa, putus-asa, lupa apa yang telah anda pelajari, tidak boleh menumpukan perhatian dan tidak mampu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan?
Dan soalan paling penting, jika anda masih belum mencapai kecemerlangan yang anda idamkan, wujudkah cara berkesan untuk mencapainya.....?
Sewaktu saya di zaman kanak-kanak, saya sangat takutkan hantu. Lebih tepat lagi kalau saya katakan, saya takut kepada tempat-tempat yang gelap dan sunyi. Lebih-lebih lagi saya dibesarkan di kampung. Seingat saya, keadaan sudah sangat sunyi kalau selepas waktu Isyak, tiada lagi orang mahu berada di luar rumah pada waktu begini. Pada masa dahulu, di kampung saya yang terletak di Pasir Mas, Kelantan keadaan tidaklah seperti sekarang, sudah ada pembangunan dirasai. Pada waktu malam hanya bunyi cengkerik dan burung hantu yang kedengaran bersahutan antara satu sama lain.
Ini menyebabkan saya tidak mahu ke mana-mana pada waktu malam tanpa berteman. Banyak ketikanya, hendak ke bilik air pun saya perlukan seseorang untuk menemani saya. Lagipun rumah saya waktu itu adalah rumah kampung, tiada bilik air yang lengkap di dalam rumah seperti sekarang. Sumber bekalan air juga masih diperolehi melalui telaga yang terdapat di belakang rumah. Bekalan air melalui paip kerajaan masih belum dibekalkan ke kampung saya pada waktu itu. Perkara ini amat merisaukan ayah saya kerana saya adalah seorang lelaki. Beliau risau jika saya akan kekal takut kepada tempat gelap dan sunyi hingga saya dewasa.
Jadi, pada suatu malam ayah saya cuba menerangkan kepada saya bagaimana hantu muncul di tempat gelap. Kata ayah saya, “ Zul, tau tak kenapa hantu cuma muncul pada waktu malam, kat tempat gelap atau kat tempat sunyi je?” Saya terdiam sebentar.
Saya cuba fikirkan tentang kebenaran kata-kata ayah saya itu. Benar juga katanya. Kalau waktu siang, tidak pernah pula saya merasa takut walaupun bermain di kawasan hutan kecil di belakang rumah saya. Bermain sorok-sorok atau mencari biji getah untuk dimainkan bersama kawan-kawan, lansung saya tidak merasa takut walaupun terpaksa masuk ke dalam hutan kecil itu. Tetapi pada waktu malam, di dalam rumah pun saya takut disebabkan saya rasa seperti ada sesuatu yang menanti saya di dalam gelap.
“Tak tau, hantu keluar waktu malam je kot”, jawab saya setelah gagal memikirkan mengapa hantu mungkin hanya muncul pada waktu tertentu sahaja. Ayah saya tersenyum lalu berkata, “Sebenarnya kan, dalam kepala (minda) orang yang takutkan hantu ni, ada satu video tape dan satu video player,”. (Ketika itu vcd player belum wujud lagi, yang ada hanya video tape, itu pun hanya ada di rumah tok penghulu kampung saya).
“Bila orang yang takutkan hantu ni pergi ke tempat gelap atau sunyi, video tape ni akan terpasang dengan sendirinya,” sambung ayah saya lagi.
“Bila dah terpasang, jadi macam mana pulak?” Tanya saya ingin tahu. “Bila dah terpasang, dia jadi macam tayangan gambar la. Mata orang tu akan nampak bayangan hantu, telinga dia pulak akan dengar bunyi-bunyi yang menakutkan,” balas ayah saya lagi. Saya terdiam sambil berfikir. “Betul ke ni?” Soal hati saya. “Jadi, hantu yang ditakutkan sangat tu sebenarnya ada dalam kepala (minda) orang yang takut tu sendiri.” Sambung ayah saya lagi.
Penerangan ayah saya ketika itu sangat mudah saya fahami. Apa yang saya benar-benar faham ketika itu ialah, perkara yang sentiasa saya takutkan selama ini sebenarnya datang dari minda saya sendiri. Sejak hari itu, perlahan-lahan saya dapat mengatasi rasa takut saya. Saya merasa seolah-olah telah bebas dan dunia saya menjadi lebih luas kerana saya bukan sahaja bebas bergerak pada waktu siang, tetapi bebas bergerak pada waktu malam juga.
Kini, berdasarkan cerita bagaimana hantu muncul di tempat gelap itu, saya mendapat ilham bagaimana untuk saya terangkan cara membuat persediaan minda bagi pelajar yang ingin menjadi cemerlang. Tetapi, apa kaitannya cerita itu dengan cara membuat persediaan minda?
Sekarang, cuba anda bayangkan, setiap pelajar mempunyai vcd dan pemain vcd di dalam minda mereka. Bagi pelajar yang tidak cemerlang, apabila mereka mahu belajar atau mengulangkaji, sejenis vcd akan terpasang dengan sendirinya.
Vcd itu akan memainkan gambaran yang belajar itu susah, menyakitkan, membosankan, menimbulkan rasa mengantuk dan membuang masa. Sebab itulah mereka sentiasa tidak bersemangat untuk belajar. Cuba bayangkan, kalau kita sudah tahu bahawa satu wayang gambar itu sangat membosankan, pasti kita awal-awal lagi akan menolak jika ada kawan kita yang mengajak untuk menonton bersama. Perkara yang sama juga berlaku apabila kita membayangkan bahawa proses belajar itu adalah sesuatu yang membosankan.
Malah, mereka akan jauhi diri dari belajar dengan membuat aktiviti lain yang lebih menarik seperti membuat bising, mengganggu pelajar-pelajar lain atau tidur di dalam kelas. Jika vcd ini sentiasa terpasang setiap kali pelajar-pelajar ini hendak belajar, bolehkah mereka mencapai kecemerlangan? Tentu tidak bukan?
Setelah mengetahui tentang perkara ini, bolehkah anda meneka apa yang patut dilakukan supaya perkara ini tidak lagi berlaku. Maksud saya, apa yang patut dilakukan supaya pelajar-pelajar tadi tidak lagi merasa malas dan tidak bersemangat setiap kali mahu belajar?
Mungkin ada di antara anda yang meneka dengan betul. Ada 3 langkah yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.

1. Vcd-vcd itu perlu dimusnahkan terlebih dahulu. Jika ia tidak dimusnahkan, ia akan sentiasa terpasang dengan sendirinya setiap kali pelajar-pelajar tadi mahu mengulangkaji pelajaran. Cuba mulakan azam baru untuk berubah. Saya percaya dengan azam yang kuat pasti anda akan dapat memusnahkan ‘vcd lama’ anda itu. Cuba bayangkan, alangkah seronoknya jika setiap kali peperiksaan, kita mendapat markah yang tinggi dan mendapat pujian daripada guru di hadapan rakan-rakan sekelas. Dan ingat! Manusia semuanya dikurniakan otak dan akal fikiran oleh tuhan, cuma terpulang kepada anda sendiri mahu menggunakan otak anda atau tidak. Tiada manusia yang ada 2 otak, satu di kepala dan satu di perut contohnya. Genius seperti Albert Einstein pun hanya mempunyai satu otak sahaja. Jadi tepuk dada, tanya selera sama ada anda ingin berubah atau tidak. Jika ada kemahuan, pasti ada jalannya.
2. Langkah seterusnya, vcd baru perlu dicipta. Seperti yang telah saya katakan tadi, cuba buat satu vcd baru dalam kepala anda yang menunjukkan bahawa anda sedang dipuji oleh guru kerana mendapat markah yang tertinggi dalam kelas. Alangkah bahagianya! Tidak salah kalau kita membayangkan perkara yang baik untuk memotivasikan diri sendiri. Cuma jangan hanya berangan sahaja, dan angan-angan ini perlulah disusuli dengan tindakan segera. Alangkah baiknya jika setiap kali anda ingin mengulangkaji pelajaran, vcd yang terpasang sendiri akan memaparkan yang belajar itu menyeronokkan, menenangkan, mudah, membanggakan dan menggembirakan? Jadi, anda perlu mencipta vcd sebegini supaya ia dapat menggantikan vcd yang telah dimusnahkan tadi. Bayangkan hasil yang bakal anda perolehi dengan selepas belajar dengan tekun. Anda harus ingat, tiada apa pun yang senang dalam dunia ini, Thomas Alva Edison, orang yang mencipta mentol elektrik, hanya berjaya mencipta mentol elektrik dalam percubaannya yang ke berapa ribu kali dan beliau sebenarnya adalah seorang yang cacat pendengaran. Tetapi akhirnya beliau berjaya melakukannya dengan usaha yang gigih dan tidak mengenal erti penat.
3. Proses terakhir, “Play’. Mainkan vcd baru itu. Anda perlu pastikan vcd baru yang telah anda cipta itu terpasang setiap kali anda mahu belajar atau mengulangkaji pelajaran. Jangan takut untuk membayangkan kesan baik yang bakal anda terima selepas faham akan pelajaran yang dipelajari. Cuba bayangkan wajah ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan anda yang sangat berbangga dengan anda setelah anda berjaya dalam pelajaran. Inilah vcd yang wajib anda mainkan setiap kali ingin memulakan sesi pembelajaran.

Cuma ingat, jangan hanya berangan-angan Mat Jenin sahaja, angan-angan sahaja yang lebih, apa pun tarak!


Seterusnya saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada adik-adik yang sedang belajar dan bakal menduduki peperiksaan.

1 comment:

Anonymous said...

untuk berjaya perlukan pengorbanan atau istilah ekonomi sebagai kos lepas iaitu bg mendapat kecemerlangan dan kejayaan kita terpaksa baca buku dan korbankan masa tdo dan bermain..

baca buku <=> kejayaan <=>gembira
tdo <=> kegagalan<=>sedih

samaada sedar atau tidak..kejayaan seseorang datang dari usaha dirinya sendiri...kita yang berhak membuat pilihan